Thursday, 28 July 2016

Pengalaman Umrah Bersama Andalusia (Musim Sejuk) 2016 - Itinerari Perjalanan Umrah 12 hari

ITINERARI UMRAH & ZIARAH BERSAMA ANDALUSIA 2016 (MUSIM SEJUK)  pertama kali mengerjakan umrah 2016, umrah musim sejuk 2016 bersama andalusia, mekah dan madinah pada musim sejuk, perjalanan umrah kami sekeluarga 2016, persediaan untuk mengerjakan umrah, suntikan umrah, terminal haji di jeddah, pengalaman umrah 2016

PERSEDIAAN UMRAH

Pakej Umrah: Pakej Biasa dengan Andalusia untuk 6 orang sekeluarga

Dokumen yang kami serahkan kepada Andalusia untuk Umrah
1.     Pasport yg dikemaskinikan
2.     Buku suntikan ACYW135, sah untuk tempoh 3 tahun (ahli keluarga kami yang ada lelah dan selesema mengambil suntikan tambahan)
3.     Sijil nikah bercop pejabat agama dan wisma putra
4.     Sijil lahir anak2 bercop JPN dan wisma putra
5.     Gambar visa umrah 4 keping setiap seorang

Tiket kapalterbang
Airasia : 4hb Februari – 12hb Februari 2016 (diuruskan oleh Andalusia)

VISA
Diuruskan oleh pihak Andalusia. Kami menerima berita bahawa visa telah diluluskan 5 hari sebelum perjalanan kami.

Kelengkapan Umrah/ke masjid


Untuk lelaki dan perempuan
2 bilah gunting untuk bertahalul
Botol spray wuduk
Uncang kasut (kasut/selipar kami masukkan ke dalam uncang dan uncang dibawa masuk ke dalam masjid)

Ahli keluarga wanita
telekong putih bersama jubah hitam, stoking lengan, stoking wuduk dan kasut tawaf untuk umrah
jubah hitam, tudung hitam, Stoking lengan, stoking wuduk  dipakai ke masjid setiap hari

Ahli keluarga Lelaki
Kain ihram sehelai seorang, tali pinggang biasa untuk umrah
Jubah ke masjid setiap hari 

Barangan yg dibawa dalam beg galas kecil Andalusia oleh ahli keluarga wanita setiap hari

Fon bimbit
Botol spray wuduk di isi air zamzam (untuk minum dan berwuduk dalam masjid sekiranya perlu. Tandas terletak di luar masjid dan agak jauh. Kalau terpaksa keluar ke tandas, bila nak masuk balik ke masjid mungkin sudah tidak dibenarkan sebab kawasan dah penuh. Jadi kena solat di luar masjid pula)
Tuala kecil
Tisu dalam pek kecil (beberapa pek)
Lozenges spt Fisherman’s Friend dan Sterpsil untuk sakit tekak
Buku doa kecil
Lip Balm
Duit (sekadar cukup untuk bersedekah kepada pekerja masjid dan untuk berbelanja jika perlu. Kami tidak bawa banyak duit apabila keluar kerana telah banyak dengar kes kecurian)

**pegawai wanita akan memeriksa beg yg akan dibawa masuk ke dalam masjid. Kami tidak pasti apa yg diperiksa sebab semua barang kami dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam masjid termasuk fon bimbit).

Barangan yg dibawa dalam beg galas kecil Andalusia oleh ahli keluarga lelaki setiap hari
Botol spray di isi air zam-zam
Tuala kecil
Buku doa
Duit (sekadar cukup untuk bersedekah kepada pekerja masjid dan untuk berbelanja jika perlu. Kami tidak bawa banyak duit apabila keluar kerana telah banyak dengar kes kecurian)

Penginapan di Mekah dan Madinah

Mengikut pakej asal, kami akan menginap 4 orang dalam satu bilik di Mekah dan Madinah.
Jadi oleh sebab kami sekeluarga berenam,  4 orang ahli keluarga kami akan berkongsi satu bilik manakala dua orang lagi akan berkongsi bilik dengan 2 orang jemaah lain. Tapi rezeki kami lebih baik. Ketika di Madinah kami mendapat 3 bilik.  2 bilik untuk dikongsi 2 org setiap bilik. Manakala 2 orang lagi ahli keluarga kami hanya berkongsi bilik dengan Mutawif kami.

Mengikut pakej asal, di Madinah kami akan menginap di hotel biasa dan agak lama. Tapi rezeki kami lebih baik, kami akhirnya menginap di hotel yang lebih baru dan lebih selesa. Di Mekah pula mengikut pakej asal, kami akan menginap di hotel biasa yang jaraknya 600 meter dari Masjidil Haram, tapi rezeki kami dapat menginap di hotel yang terletak 250 meter sahaja dari Masjidil Haram, tapi hotelnya agak lama. Di mekah kami diberi 2 bilik jadi setiap 3 orang berkongsi satu bilik

Makanan/Ubat/Krim/baju sejuk
Ubat yang dibawa sekiranya ada kecemasan: ubat asthma, panadol, ubat batuk, demam, ubat sakit tekak, selesema dan antibiotik. Ubat sangat2 disarankan untuk dibawa kerana ubat di sana tersangat mahal. Walaupun kami membawa bekalan ubat untuk setiap orang namun salah seorang ahli keluarga mengalami sakit tekak yang agak teruk dan terpaksa membeli ubat tambahan di farmasi di Mekah. 6 biji antibiotik dan satu papan ubat sakit tekak berharga RM 100.  

Bekalan makanan yang dibawa: Kami bawa sebotol sambal ikan bilis pekat yang siap dimasak di Malaysia dan apabila tiba di Madinah, kami simpan di dalam freezer. Sambal ikan bilis inilah menjadi pembuka selera bagi kami di Madinah, sebagai tambahan kepada makanan yang dihidangkan di dewan makan andalusia di hotel. Kami juga ada membawa mi maggie. Air panas sentiasa ada di dewan makan. Jadi senang untuk makan mee segera.

Krim yang paling banyak kami guna di sana ialah krim bibir. Bibir memang merekah terutamanya di Madinah di sebabkan cuaca sejuk pada waktu malam dan pagi dan bertukar sedikit panas pada waktu tengahari.

Baju sejuk memang perlu terutamanya untuk Madinah. Suhu larut malam dan awal pagi ialah dalam 10 Celcius dan meningkat ke 17 celcius pada waktu tengahari. Kadang2 angin agak kuat pada waktu pagi dan malam.

HARI 1 :JEDDAH/MADINAH

Semasa di lapangan terbang KLIA2.
Berkumpul di tempat yang diberitahu oleh Mutawif. Mutawif biasanya akan menghubungi jemaah 2 atau 3 hari sebelum bertolak.  Apabila Mutawif tiba, kami membawa beg untuk check-in dan diberi tag nama untuk “hand-carry” baggage. 
Kami kemudiannya naik ke tingkat atas untuk mendengar taklimat perjalanan umrah ini. Mutawif menyerahkan boarding pass kepada keluarga masing2 dan kebanyakan ahli keluarga terpisah tempat duduk di atas kapal terbang.

Apabila masa boarding tiba, kami masuk ke dalam tempat menunggu. Oleh sebab surau penuh , kami menunaikan solat jamak zuhur dan asar di celah2 kerusi dalam kawasan menunggu. Ramai jemaah lain pun solat di situ.

Semasa Penerbangan
Kalau tak silap, 80% penumpang pesawat ini adalah dari negara jiran yang transit di KLIA2 untuk ke Jeddah.
Paramugari dan paramugara dalam penerbangan kali ini agak kurang peramah berbanding dengan penerbangan2 lain airasiaX yang kami naiki sebelum ini. Penumpang di larang sama sekali untuk bertukar tempat duduk untuk duduk bersama ahli keluarga walaupun kapal terbang sudah berlepas.

Mungkin kerana terdapat pelbagai kerenah penumpang menyebabkan mereka kurang peramah. Sekali-skala terdengar pengumuman dibuat
 “Ibu-ibu dan bapak-bapak, tolong tekan butang flush selepas guna tandas”  
dan
Ibu-ibu dan bapak-bapak, tolong jangan basahkan lantai tandas sebab berbahaya untuk pesawat”
Dll

Tiba di lapangan terbang Jeddah.
Turun dari kapal terbang terus dibawa menaiki bas ke terminal haji.

Kami beratur untuk pemeriksaan imigresen. Wajah akan diimbas dan pasport diperiksa. Sekali lagi kami murah rezeki, urusan imigresen kami selesai dalam masa sejam setengah sahaja. Mutawif kami juga kata ini rekod baru sebab selalunya ia memakan masa 3 hingga 4 jam untuk selesai. Syukur.

Kami menunaikan solat jamak magrib dan isyak di kawasan lapang dalam terminal haji ini. Ada tikar yang telah sedia di bentang.

Kami kemudiannya mengisi air ke dalam botol kosong yg kami bawa satu setiap seorang. Ini sebagai persediaan perjalanan ke Madinah.

Kami berjalan keluar menuju ke terminal bas. Ahli keluarga kami menolak sendiri troli barang2 kami kerana jika kita biarkan pekerja airport Jeddah menolak troli kita, bayaran yang mahal akan mereka kenakan. Mereka akan tunggu selagi bayaran tidak diterima.

Menaiki bas menuju Madinah. Singgah di kawasan rehat dan diberi makan malam dalam pek bungkusan. Tiada tempat duduk di sini, hanya tempat solat dan tandas yang uzur keadaannya.
Tiada lampu di sekeliling kawasan ini. Kami makan sambil duduk di atas batu dalam keadaan yang malap. Tiada air di dalam tandas di sini dan kami gunakan air yang kami isi di dalam botol di lapangan terbang tadi.
Meneruskan perjalanan ke Madinah.


HARI 2 : MADINAH

Tiba di Hotel Al Aiman Taibah

Mutawif menguruskan checkin, serahkan kunci dan password WIFI serta memberi taklimat ringkas itinerari hari esok. Pada hari yang dijadualkan ziarah, kami perlu berkumpul di tempat bas di luar hotel selepas sarapan. Setiap ziarah, mutawif akan pastikan kami akan pulang sebelum zohor agar dapat solat di Masjid Nabawi. Ada juga hari yang tiada ziarah dijadualkan.

Setiap hari, Jemaah disarankan menunaikan solat wajib dan beribadat (membaca quran, solat sunat, solat Qada’ dll) sebanyak mungkin di Masjid Nabawi. Mengikut pengalaman kami jemaah wanita perlu ke masjid jauh lebih awal berbanding Jemaah lelaki kerana pintu masjid bahagian wanita akan di tutup lebih awal sebab cepat penuh.

Selepas masuk bilik, berehat dan mandi, kami terus bersiap2 untuk ke Masjid Nabawi.
Ini lah solat pertama kami di Masjid Nabawi. Oleh kerana kami baru saja tiba di Madinah dan waktu sudah pun pukul 430 pagi, Masjid Nabawi sudah pun sesak dengan Jemaah apabila kami tiba.
 Ahli keluarga lelaki berpeluang solat di dalam masjid manakali ahli keluarga wanita kami terpaksa solat di luar kerana tempat solat wanita sudah pun penuh.

Setiap Jumaat, ayat sajadah dibaca. Maka perlulah sujud sajadah.

Jemaah Wanita Kami
Selepas sarapan di hotel, ahli keluarga wanita kami bersama jemaah lain mengikut Ustazah ke Rawdah. Kami berkumpul di lobi hotel. Ustazah memberi sedikit penerangan sebelum bergerak ke Masjid Nabawi. Untuk sampai ke Rawdah, kami dibahagi mengikut negeri. Orang Malaysia ikut saja ustazah kita.

Masuk ke dalam Masjid dan tiba di satu sudut, kami di minta duduk untuk menunggu giliran ke Rawdah.   Ustazah memberi penerangan dan bercerita tentang Rawdah sementara menunggu. Apabila pegawai wanita masjid memberi isyarat, kami semua bangun dan berjalan menuju  ke sudut lain pula. Duduk, tunggu dan dengar ustazah bercerita lagi. Begitulah beberapa kali sehinggalah kami memasuki kawasan Rawdah.

Keadaan di dalam Rawdah agak kelam kabut. Kawasannya kecil, jemaahnya ramai. Dan ramai jemaah yang enggan keluar walaupun sudah selesai solat sunat dan berdoa. Pegawai wanita masjid berkali2 menyuruh keluar untuk beri laluan kepada jemaah yang belum berpeluang masuk ke Rawdah.  Alhamdulillah, dalam keadaan kelam kabut, kami berpeluang solat sunat serta berdoa di Rawdah, Taman Syurga.

Ustazah pesan, walaupun karpet hijau itu tanda kita sudah masuk ke rawdah, tapi perlu ke hadapan lagi untuk solat dan berdoa sebab tiulah kawasan raudah yg sebenar..sangat kecil ruangnya.

Dalam perjalanan ke Rawdah, kami di tunjuk kawasan makam nabi oleh ustazah. Kaum wanita tak dibenarkan masuk ke kawasan itu. Kami Cuma memberi salam kepada Nabi Muhammad (s.a.w).

Jemaah Lelaki Kami
Mutawif memberitahu kedudukan perkuburan Baqi dan Jemaah melawat perkuburan Baqi sendiri tanpa Mutawif.


Dua jam sebelum azan zohor, kami semua sudah berada di Masjid Nabawi untuk solat Jumaat. Di Madinah dan Mekah, jemaah wanita juga boleh menunaikan solat Jumaat.  Selepas solat, pulang ke hotel untuk makan tengahari.

Selepas makan, rehat sekejap dan kami berjalan semula ke Masjid Nabawi untuk solat Asar. Selepas asar kami terus berada di masjid untuk meneruskan ibadah lain seperti membaca alquran, solat sunat, solat qada dan solat magrib dan Isya’.

Selepas Isya’, berjalan pulang ke hotel, makan malam di dewan , berehat dan tidur. Esok perlu bangun awal.

Jemaah wanita kami perlu ke masjid pukul 330-4 pagi untuk memastikan dapat solat di dalam masjid manakala Jemaah lelaki tak perlu keluar begitu awal.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kedua.

HARI 3 : MADINAH (MASJID QUBA, LADANG KURMA, PASAR KURMA)


Melawat Masjid Quba
Selepas solat subuh di Masjidil Haram dan makan pagi di hotel, kami berwuduk seperti yg dinasihat kan oleh Mutawif. Malah sebelum bas bertolak, Mutawif masih bertanya untuk memastikan semua Jemaah telah berwuduk terlebih dahulu. Menurut Mutawif, sekiranya sesorang berwuduk dan dia pergi me masjid Quba dan solat sunat di sana, pahalanya sama dengan mengerjakan satu Umrah.

Tiba di Masjid Quba, Mutawif menunjukkan jalan masuk untuk Jemaah wanita dan jemaah lelaki.

Jemaah wanita
Jalan untuk menuju ke pintu masuk wanita di Masjid Quba sangat2 sesak dengan Jemaah yang berduyun2 dan tolak-menolak. Apabila berjaya masuk, kami dapati bahagian solat penuh dan Jemaah masih tolak-menolak dan berebut tempat solat. Pegawai wanita masjid mengarahkan Jemaah untuk naik ke tingkat atas.

Untuk naik keatas pula, kawasan tangga sesak dengan Jemaah yang berebut untuk naik dan terserempak pula dengan Jemaah yang berebut untuk turun setelah selesai solat. Keadaan sangat kelam kabut, kesian Jemaah yang tua dan uzur apabila ditolak dan dihimpit.

Tapi setibanya kami ditingkat atas, kami dapati keadaan agak lengang. Hanya separuh kawasan yang di penuhi Jemaah. Kami dapat solat dengan tenang di tingkat atas. Tapi untuk turun ke bawah dan untuk keluar dari kawasan masjid, sekali lagi kami terpaksa bersesak2 dan berhimpit2.


Melawat Jabal Uhud
Dari Masjid Quba kami ke Jabal Uhud. Sepanjang perjalanan, Mutawif bercerita tentang sejarah di Jabal Uhud. Kami tidak berada lama di sini. Hanya melihat kawasan persekitaran dan bergambar seditkit dengan ahli keluarga.
Gunung di sini hanya ada batu granit merah sahaja, sangat unik.

Melawat Ladang Kurma
Dari Jabal Uhud, kami ke Ladang Kurma. Kawasan ladangnya tidaklah besar, tapi pemandangannya agak cantik. Terdapat pasar kurma ditengah2 ladang kecil ini. Masuk sahaja, terdengar laungan para-peniaga “murah!, murah!” . Tapi kami tidak beli apa2 di sini kerana ada terbaca harga kurma di sini agak mahal, jadi kami hanya bergambar kenangan. Kami memang bercadang untuk beli kurma di kedai kurma, mutawif akan bawa kami ke sana selepas ini.

Kedai Kurma
Dari Ladang Kurma, kami bergerak untuk pulang dan sementara itu singgah di kedai kurma. Kami beli beberapa jenis kurma di sini serta kekacang.

Berakhirlah ziarah untuk hari ini
Kami tiba di hotel dan bersiap2 untuk ke masjid bagi menunaikan solat zohor.

Selepas solat zohor, kami kembali ke hotel untuk makan tengahari kemudian ke masjid pula untuk solat Asar dan terus berada di masjid untuk magrib dan Isya’. KEmudian pulang k ehotel untuk malakan malam.


Setiap kali keluar dari pintu masjid Nabawi, kami singgah membeli tudung, inai mekah dan beberapa barangan lain yang di jual di hadapan pintu masjid Nabawi.

Uniknya Masjid Nabawi, sebelum waktu solat , keadaan agak tenang, hanya di penuhi Jemaah yang mula memasuki masjid untuk solat. Tapi selesai solat fardhu, ketika Jemaah berduyun2 keluar dari masjid, para penjual menunggu di hadapan pintu masjid dengan barangan mereka dan keadaan bertukar menjadi riuh-rendah.

Terdengar laungan para penjual. Bila mereka nampak Jemaah Malaysia, mereka melaungkan harga dalam bahasa Malaysia dan menjerit “murah! Murah!..Malaysia boleh!.
Biasanya mereka cam orang Malaysia apabila melihat beg galas kecil agen umrah Malaysia atau pun jika bertelekung putih (orang arab pakai jubbah dan tudung hitam dan Jemaah Malaysia pula suka bertelekung putih).

Para peniaga ini akan naik keatas beca barangan mereka, dan mempamerkan tudung/jubbah mereka kemudian melambungkan tudung.jubah itu ke udara. Itulah istilah “tudung terbang di masjid nabawi)

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Ketiga.

HARI 4 : MADINAH

Hari ini hari terakhir di Madinah. Esok kami akan bertolak ke Mekah.
Sebenarnya, selepas subuh dan makan pagi, andalusia mengadakan ceramah “ “ untuk jemaah.
Tapi kami tidak ikuti ceramah ini sebaliknya, memilih untuk berjalan2 di sekitar Kota Madinah kerana kami tidak pasti bila lagi akan di jemput ke sini.

Kami bergambar kenangan sekeluarga di perkarangan Masjid Nabawi selepas waktu subuh.
Selepas bersarapan di hotel, kami ke sebuah kedai yang berdekatan dengan hotel kami untuk membeli jubah wanita. Mutawif pernah bawa kami ke sini sblm ini. Katanya jubah agak murah di sini sebab memang ada perjanjian dengan bos andalusia untuk memberi diskaun kepada jemaah andalusia. Lupa pula nama kedai tu. Di sini ahli keluarga kami membeli beberapa helai jubah.

Kami berjalan2 lagi dan singgah di sebuah kedai untuk membeli cenderahati untuk keluarga di Malaysia.Kemudiannya kami berjalan hingga ke hujung dataran jam. Masuk keluar beberapa buah kedai tapi kami tak beli apa-apa. Sehinggalah kami terjumpa seorang wanita berpurdah yang menjual jubah lelaki dengan harga yang agak murah. Barulah kami beli beberapa helai jubah dengannya.

Kami memang merancang membeli belah di Madinah kerana kami diberitahu harga lebih murah  dan lebih selesa membeli belah. Kami cuba mengelak urusan beli-belah di Mekah.

Kami kembali ke Masjid nabawi untuk solat zuhur. Dan seperti biasa pulang ke hotel untuk makan tengah hari, kembali ke masjid untuk solat asar dan terus beribadah di masjid hingga selesai magrib dan isyak.

Selepas isyak kami berjalan ke sebuah kompleks yang terletak berhampiran hotel dan kami beli makan malam di sana dan tidak makan di dewan makan hotel. 

Pulang ke hotel, kemas barang2 sebagai persediaan ke Mekah. Kami juga di minta oleh mutawif untuk melabelkan semua beg kami dengan nama mutawif, hotel di mekah nanti dan nombor penerbangan untuk memudahkan perjalanan kami ke mekah.

Semua beg jemaah akan di kumpul di lobi hotel mengikut kumpulan/mutawif masing2. Pihak hotel akan mengangkat semua beg ini ke dalam bas sebelum berlepas ke Mekah.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Keempat.

HARI 5 : MADINAH / MEKAH

Hari ini tidak banyak aktiviti di Madinah tapi lebih kepada persediaan kami untuk menjalankan umrah pertama dalam hidup kami sekeluarga. Pagi2 lagi kami telah membawa turun beg kami yang telah dilabel.

Kami akan meninggalkan kota Madinah menuju ke Mekah hari ini.

Selepas subuh kami terus melakukan Ziarah Wida iaitu ziarah selamat tinggal, mengucapkan selamat tinggal kepada Nabi Muhammad (s.a.w) kerana kami akan meninggalkan Madinah.

Pulang ke hotel, makan, mandi sunat ihram . Kami digalakkan untuk pakai pakaian ihram di hotel supaya tidak kelam kabut di Bir Ali nanti. Kemudian menaiki bas menuju Masjid Bir Ali, miqat kami untuk umrah pertama.

Selepas bertolak, kami singgah di Masjid Bir Ali. Oleh sebab bir ali dekat saja dengan Madinah, kami tiba di sini pada siang hari. Ramai jemaah di sini. Selepas solat sunat ihram dan berniat kami berkumpul dan menaiki bas. Sebelum bas bergerak, mutawif berpesan dan pastikan semua berpakaian ihram dengan betul. Dan mutawif ajar niat bagi yg belum berniat. Maka selesailah rukun umrah pertama iaitu NIAT dan bermulalah pantang larang dalam ihram.

Mutawif kemudiannya membimbing semua jemaah bertalbiah di atas bas sepanjang perjalanan ke Mekah.

Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid untuk solat jamak Magrib dan Isyak. Selesai solat, salah seorang ahli keluarga kami kehilangan selipar. Puas cari tapi tak jumpa. Nasib baik ada peniaga selipar tidak jauh dari masjid, belilah ganti.

Naik bas dan sambung bertalbiah sehingga ramai yang terlena.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kelima.


HARI 6 : MEKAH

Mutawif mengumumkan bahawa kami telah tiba di Mekah.

Kami di bawa ke hotel terlebih dahulu, check-in dan ambil bungkusan nasi arab yang di sediakan.
Makan dalam bilik masing2 dan mutawif berpesan agar semua jemaah berkumpul di lobi hotel pada pukul 1130 malam untuk menunaikan umrah.

Kami kemudiannya berjalan menuju masjidil haram sambil bertalbiah di ketuai oleh mutawif dan di bawa ke pintu utama. Dari luar pintu sudah nampak kelibat/kelambu ka’abah. Mutawif sekali lagi berpesan cara Tawaf serta di mana kami akan berkumpul selepas Tawaf agar dapat mengerjakan Saie pula.

Masuk saja ke kawasan Ka’abah, talian Tawaf bertali-arus, orang ramai dan agak sesak . Kami ikut mutawif ke lampu hijau, mutawif mengangkat tangannya sambil memegang buku kecil, agar semua jemaah nampak kedudukan dia dari jauh dan dapat ikutnya bertawaf bersama-sama. Tapi sebaik saja kami masuk dalam pusingan Tawaf, semua jemaah terpisah. Kami sekeluarga pun terpisah di sebabkan oleh orang yang terlalu ramai. Selepas Tawaf, kami mengerjakan Saie dan Bertahalul. Semua rukun ini dijalankan sendirian atau berdua kerana semua ahli keluarga terpisah.

Kami kemudiannya bertemu semua ahli keluarga semula di hadapan KFC di dataran Masjidil Haram. Kami memang telah berjanji akan bertemu di sini jika kami sekeluarga terpisah. Dan memang ramai jemaah lain termasuk dari negara lain juga berbuat begitu. Masing2 menunggu ahli keluarga di hadapan KFC. Dan di hadapan KFC inilah kami sekeluarga akan berkumpul setiap hari selepas solat untuk berjalan pulang ke hotel bersama-sama.

Alhamdulillah, walaupun sendirian, kami berjaya menunaikan tawaf, saie dan bertahalul. Sebenarnya kami sekeluarga telah membuat buku nota umrah saiz kecil yang boleh di gengam dalam tangan sahaja untuk setiap ahli keluarga. Buku ini kami buat berdasarkan ceramah Ustazah Syamsuri.
Klik DI SINI   jika ingin melihat/mendengar ceramah ini. Kami buat nota dan nota ini kami gunting sekecil yg mungkin dan setiap muka surat yg kecil itu di satukan dengan stapler. Senang di bawa dalam gengaman dan senang untuk bertukar muka surat. Klik DiSINI untuk melihat nota kami.

Selesai Umrah, kami naik ke Jambatan Mataf dan merenung Ka’abah dan berdoa sambil menunggu azan subuh. Melihat Ka’abah ialah satu ibadah. Selepas subuh kami yang pertama di Masjidil Haram, kami berjalan pulang ke hotel untuk bersarapan.

Ke masjid lagi untuk zuhur dan pulang untuk makan tengah hari.

Ke masjid lagi untuk asar dan terus berada di Masjidil Haram untuk Magrib dan Isyak.
Pulang ke hotel untuk makan malam.

Selepas makan malam dan berehat, ada antara ahli keluarga kami yang pergi semula ke kawasan Ka’abah, bertawaf sunat dan melihat ka’abah hingga selepas larut malam.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Keenam.


HARI 7 : MEKAH

Hari ini kami akan mengerjakan Umrah kami yang kedua. Jadi kami perlu keluar dari Mekah dan bermiqat di Jaranah.

Kami di bawa menziarah Jabal Rahmah, tempat pertemuan Nabi Adam dan Hawa setelah sekian lama terpisah.

Kemudian kami berhenti di masjid Jaranah, solat sunat ihram dan berniat untuk umrah kami yang kedua. Maka bermulalah sekalil lagi pantang-larang dalam ihram.

Naik bas dan sampai di Masjidil haram hampir zuhur. Ada jemaah yang mengerjakan umrah selepas solat zuhur dan ada mengerjakan umrah selepas makan tengah hari bergantung pada keselesaan dan kesihatan masing2.

Kami terus mengerjakan Umrah selepas zuhur. Kemudian kami membeli makanan di kedai yang terdapat di sepanjang jalan pulang ke hotel untuk makan tengah hari kerana makanan tengah hari di hotel mungkin sudah habis pada masa itu.

Di mekah, senang untuk beli pelbagai makanan kerana kedai2nya tak jauh dari masjidil haram. Harga pun berpatutan.

Kami makan makanan yg di beli di bilik hotel, berehat dan oleh sebab sudah agak lewat kami solat asar di dalam bilik hotel sahaja.

Kemudian bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan Magrib dan isyak serta pulang ke hotel untuk makan malam. Sekali lagi singgah beli ayam goreng di kedai di sepanjang jalan pulang. Kami makan nasi dan dari dewan makan berlaukkan ayam goreng.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Ketujuh.

HARI 8 : MEKAH

Hari ini kami akan mengerjakan Umrah kami yang ketiga. Jadi kami perlu keluar dari Mekah dan bermiqat di tanaim.

Tanaim ialah miqat terdekat. Kami terus mengenakan pakaian ihram dan seperti biasa apabila tiba di masjid tanaim, solat sunat ihram dan niat ihram. . Maka bermulalah sekali lagi pantang-larang dalam ihram.

Naik bas menuju ke masjidil haram untuk mengerjakan tawaf , saie dan bertahalul.

Hari ini kesemua ahli keluarga lelaki bercukur hingga botak.

Kami mengulang aktiviti ibadah di masjidil haram seperti biasa hingga larut malam.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kelapan.

HARI 9 : MEKAH

Hari ini kami tidak mengerjakan Umrah.
Sebenarnya hari ini Andalusia mengadakan ceramah Fadhilat Tanah Mekah dan Bacaan Yasin selepas sarapan tapi kami tidak ikut serta.

Oleh sebab hari2 kami di Mekah hampir berakhir, kami bercadang berjalan2 di sekitarnya.

Selepas subuh dan bersarapan, kami keluar berjalan2 sekeluarga, mengambil gambar kenangan, makan aiskrim dan sebagainya. Kami hanya melihat2 kedai2 yang ada di Mekah, barang yang kami perlu sudah kami beli di Madinah. Dan rasanya, memang barang di Mekah lebih mahal sedikit berbanding Madinah.

Kami ke masjid untuk zuhur dan pulang untuk makan tengah hari di hotel.

Kali ini, selepas solat asar di masjid, kami pulang ke hotel kerana sedara kami yang sudah 2 tahun bekerja di Mekah akan datang melawat kami. Dia membawa ayam goreng Albaik untuk kami sekeluarga sebab memang kami ada nyatakan teringin nak makan ayam ini. Di Madinah tak sempat merasa dan di Mekah pula agak jauh kedainya. Alhamdulillah rezeki, dapat juga merasa ayam AlBaik Mekah.

Kami ke masjid lagi untuk magrib dan isyak. Makan malam kami beli di kedai. Kemudian kami menghabiskan masa pada hari ini dengan beribadah di hadapan Ka’abah hingga larut malam.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kesembilan.

HARI 10 : MEKAH

Andalusia menyediakan 3 kali umrah dalam pakej ini dan ketiga2nya telah selesai dijalankan.
Hari ini ialah umrah opsyenal, sesiapa yang nak ikut dikenakan bayaran tambahan kerana ini tidak termasuk dalam pakej.

Kami ambil keputusan untuk mengerjakan umrah lagi. Jadi kami perlu keluar dari Mekah untuk bermiqat di Hudaibiyyah.

Kami menaiki bas melawat Muzium Dua masjid. Kemudian kami ke Hudaibiyyah.

Setiba di sana, mutawif memberi sedikit penerangan tentang sejarah Hudaibiyyah dan kami berjalan2 di sekitar kawasan ini sambil bergambar kenangan di hadapan batu peninggalan masjid hudaibiyyah yg asal.

Kemudian kami solat sunat ihram dan berniat di dalam masjid yg agak “baru” yg di bina di sebelah batu peninggalan masjid hudaibiyyah yg lama. Keadaan masjid “baru” ini sudah agak uzur, tandasnya teruk, tempat solat kecil, air pun kurang dan sedikit sukar untuk berwuduk, sampah-sarap pun banyak  Ada beberapa orang menjual barang cenderahati di sini. 

Kami menaiki bas dan menuju ke masjidil Haram untuk menunaikan Umrah kami yang ke empat.

Selepas umrah, kami solat asar di bilik hotel dan berehat. Kami perlu pastikan badan sihat dan tidak terlalu letih kerana kami akan mendaki Jabal Thur di mana gua hirak terletak. Pendakian ke Jabal Thur (gua hirak) juga bukan dalam pakej asal. Jadi sesiapa yang hendak mendaki perlu membuat bayaran tambahan.

Selepas magrib dan Isyak’ di masjid, kami singgah lagi beli makanan untuk makan malam. Minuman panas dan sejuk kami ambil di dewan hotel. Makanan yg dijual di sepanjang jalan pulang ke hotel memang sedap menepati selera kami seperti nasi biryani, kebab, burger, ayam goreng dll. Lagipun makanan di dewan makan sentiasa sama jadi selepas beberapa kali makan, sudah agak tidak berselera.

Jemaah yang ingin mengikuti lawatan ke Jabal Thur (gua hirak) ini berkumpul di lobi untuk menaiki bas. Sampai di satu kawasan, kami menaiki van untuk ke kaki Jabal Thur. Jalan ke sana agak kasar dan van terumbang ambing. Kesian juga pada warga tua dalam keadaan sebegitu.

Kami mula mendaki dan pendakian ini memang mencabar kerana jalan naik agak menegak kedudukannya. Jadi agak sukar dan memenatkan. Ada seorang wanita arab yg menjerit2 seperti histeria kerana terlalu penat. Ada yg berhenti separuh jalan. Yang agak uzur hanya tunggu di bawah dan tidak mendaki langsung.

Alhamdulillah kami sampai ke puncak. Kami dapat melihat pemandangan kota mekah dari puncak ini, amat menakjubkan. Kami tidak masuk ke dalam gua hirak kerana terlalu ramai yang berebut untuk masuk. Lagipun mutawif ada berpesan, kalau nak solat dan berdoa dalam gua hirak boleh saja tapi gua hirak bukanlah tempat mustajab doa.

Pulang dari gua hirak, semua keletihan dan kami terus tidur.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kesepuluh.

HARI 11 dan 12 : MEKAH/JEDDAH

Kami akan bertolak meninggalkan Ka’abah dan kota Mekah hari ini. Oleh itu kami perlu melaksanakan Tawaf wida’ iatu tawaf selamat tinggal (perpisahan)

Seperti biasa kami subuh di masjidil haram dan pulang ke hotel untuk sarapan. Kami membawa turun beg ke lobi kerana selepas tawaf wida’ kami tidak boleh berada di dalam bilik lagi.

Kemudian kami ke masjid lagi, beribadah sebanyak yang mungkin. Kami naik ke jambatan mataf lagi dan melihat ka’abah dari situ dan berjalan2 sekeliling masjidil haram.

Selepas zuhur di masjidil haram dan makan tengah hari , kami terus berada di masjidil haram untuk solat asar.
Kami kemudiannya menunaikan 4 pusingan tawaf wida’, dikuti solat magrib. Selepas magrib kami sambung tawaf 3 pusingan. Selesai sahaja tawaf wida, kami terus beredar meninggalkan masjidil haram.

Mutawif sudah berpesan selepas tawaf wida, kami tidak boleh bergambar, membeli-belah (kecuali brg keperluan ) , berehat2 di hotel dan lain-lain. Kami perlu meninggalkan kota Mekah secepat mungkin.

Tiba di hotel, kami terus berada di lobi untuk check-out dari hotel dan menunggu bas.

Kemudian kami bertolak keJedah. Selamat tinggal Ka’abah.

Tiba di Jeddah. Mutawif menguruskan hal troli dan boarding pass kami. Kami terpaksa menunggu agak lama di hadapan kaunter kerana sistem komputer di airport Jeddah ada masalah ketika itu. Oleh sebab kami masih beratur di kaunter sambil menunggu sistem komputer pulih, kami pun bergilir2 menunaikan solat isyak di kawasan hadapan kaunter. Kami terpaksa berbuat demikian kerana, kalau kami solat di tempat lain, kami terpaksa beratur di belakang semula.

Akhirnya kami mendapat boarding pass masing2 dan bergerak masuk ke kawasan menunggu. Ketika hendak masuk ke kawasan menunggu, wanita dan lelaki di pisahkan. Kaum wanita akan di periksa oleh pegawai wanita sebelum masuk ke kawasan menunggu.

Bertolak pulang ke Msia. Selepas ambil beg, mutawif memberi setiap jemaah sebotol besar air zamzam. Semuanya berjalan lancar untuk kumpulan kami. Sebelum ini ada terdengar kes beg hilang, malah ada kes air zamzam tak sampai ke Malaysia disebabkan kekeliruan pekerja airport Jeddah..

Alhamdulillah, perjalanan Umrah kami teratur dan hampir tiada masalah.

Banyak perancangan yang kami buat sebelum perjalanan ini, tapi bila tiba di sana , kami dapati perancangan Allah untuk kami jauh lebih baik. Alhamdulillah, semoga kami sekeluarga dikurniakan Umrah yang mabrur dan di jemput lagi ke sana.

Kami juga berpuas hati dengan Andalusia dan Mutawif kami, sangat peramah dan sangat senang membantu kumpulan kami.

Sila Klik DI SINI untuk kenangan perjalanan Umrah kami Hari Kesebelas dan Dua belas.



Bercuti di Korea Selatan, klik DI SINI untuk itinerari perjalanan/gambar

Petite France, Korea. bercutidikorea.blogspot.com 

Bercuti di New Zealand, klik Di SINI untuk itinerari perjalanan/gambar

Queenstown, New Zealand. bercutidinewzealand.blogspot.com



Tips mengerjakan umrah dengan andalusia, tips memilih pakej umrah yang murah dan selesa, barangan yang perlu di bawa untuk umrah, kelengkapan umrah musim sejuk, tips membeli-belah di madinah dan mekah, tips mencari makanan dan ubat di madinah dan mekah, hospital di madinah dan mekah, 



9 comments:

  1. Seronok baca pengalaman ke madinah dan mekah tuan, insha Allah bulan 12 nnti saya akan ke baitullah juga di bwh andalusia..moga Allah jemput kami ke sana dan permudahkan segalanya 😊

    ReplyDelete
  2. Seronok baca pengalaman ke madinah dan mekah tuan, insha Allah bulan 12 nnti saya akan ke baitullah juga di bwh andalusia..moga Allah jemput kami ke sana dan permudahkan segalanya 😊

    ReplyDelete
  3. Seronok baca pengalaman ke madinah dan mekah tuan, insha Allah bulan 12 nnti saya akan ke baitullah juga di bwh andalusia..moga Allah jemput kami ke sana dan permudahkan segalanya 😊

    ReplyDelete
  4. Thank you for your beautiful stories

    ReplyDelete
  5. Seronok nya..semoga 1 hari nanti saya dan keluarga di jemput ke sana.

    ReplyDelete
  6. Seronok sgt perkongsian yg sgt brguna. Sy bleh gunakan untk tunaikan umrah bulan 1 ni...syok nya

    ReplyDelete
  7. Terimakasih Tuan.. atas perkongsian pengalaman Umrah Tuan sekeluarga. Sangat membantu dan bermanafaat bagi saya yang belum pernah lagi mengerjakan umrah.
    In Syaa Allah Dec 2017 kami sekeluarga akan mengerjakan Umrah.

    ReplyDelete
  8. assalamu'alaikum. terima kasih atas perkongsian saudri. insya Allah bermanfaat, mudah untuk rujukan.Gambar yang menarik, jelas.

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete