Wednesday 14 February 2024

 

UMRAH DIY NOVEMBER 2023 dengan AIRASIA (#UMRAHDIY #UMRAHAIRASIA)

UMRAH MURAH DENGAN AIRASIA

Alhamdulillah, kami sekeluarga telah berpeluang untuk menunaikan Umrah pada tahun 2016 dengan Andalusia Travels dan dua orang ahli keluarga kami menunaikan Haji pada tahun 2019 dengan Rayhar Travels.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dari perjalanan umrah dan haji kami ini, kami kemudiannya berpeluang menunaikan umrah sendiri (#UMRAHDIY) pada bulan April  2023 dan sekali lagi pada bulan November 2023. Syukur alhamdulillah.

Sebelum dan semasa kami mengerjakan kedua-dua UMRAHDIY ini, kami masih merujuk dan mendapatkan bimbingan daripada kedua-dua ustaz Andalusia dan Rayhar untuk mendapatkan penjelasan tentang apa-apa kemusykilan tentang ibadah umrah. 

Alhamdulillah, walaupun sudah agak lama dulu kami menyertai umrah Andalusia dan Haji Rayhar, namun ustaz-ustaz yang kami kenali dari kedua-dua agensi umrah/haji ini amat berbaik hati dan terus membimbing kami dalam perjalanan UMRAH DIY kami.

Semasa Umrah bersama Andalusia 2016 dulu, kami mengikut itinerari yang disediakan agensi ini dan kami melaksanakan umrah beberapa kali sepanjang berada di Mekah. Dalam perjalanan UMRAH DIY kami pada April 2023, kami melaksanakan dua kali Umrah. Namun untuk Umrah DIY November 2023, kami melaksanakan satu kali umrah semasa di Mekah dan kami mengambil peluang meneroka dan menziarahi lebih banyak tempat yang lain pada hari-hari lain.

Di sini kami catatkan perjalanan Umrah DIY kami pada November 2023.

Boleh klik link untuk lihat video pendek perjalanan kami. 

PERSIAPAN dan PERSEDIAAN SEBELUM UMRAH DIY KAMI.

1.Buat revision Ibadah Umrah dan rujuk Ustaz.

2. Renew passport

3. Suntikan meninggocal dan influenza

4. Buat visa online (siap dalam masa lebih kurang 3 minit selepas online submission, tempoh 1 tahun).

5. Beli tiket Airasia X

6. Tempah slot Umrah dan Raudah melalui aplikasi Nusuk.

7. Tempah hotel di Mekah dan Madinah.

8. Membuat International Driving License ( 3 orang)

9. Meminta pihak bank meluluskan penggunaan kad kredit dan debit luar negara sepanjang tempoh kami berada di Arab Saudi.

10. Menukar mata wang Saudi SAR

11. Menyediakan ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat demam, selesema dan batuk.

12. Celcom Roaming untuk internet sepanjang di Saudi

13. Travel Insurance Generali. (Visa Saudi pun ada include insurance)

14. Menyediakan sticker untuk air zamzam

15. Menempah secara online kereta sewa Toyota Innova dari Budget Car Rental yang bertempat di Terminal 1. Kereta ini akan kami guna di Jeddah, Madinah, As Syafa dan Taif 

16. Download Uber apps


UMRAH DIY -MASJID YANG KAMI KUNJUNGI PADA NOVEMBER 2023

1. MasjidilHaram, Mekah

2. Masjid Nabawi, Madinah

3. Masjid Quba, Madinah

4. Masjid Qiblatain, Madinah

5. Masjid Al Jumuah, Madinah

6. Masjid Al Ghamamah, Madinah

7. Masjid AL Areesh, Madinah

8. Masjid Abdullah bin Abbas, Taif

9. Masjid Al khou, Taif

10. Majid Pulau (Island Mosque), Jeddah

11. Masjid Ar Rahma, Jeddah

12. Masjid Al Shafii (masjid Purba) , Al Balad, Jeddah

13. Masjid Al Jaffali, Jeddah

UMRAH DIY - Tempat yang kami kunjungi pada November 2023

Bazar Ajyad As Sad, Mekah

Jabal Uhud, Madinah

Quba Square, Madinah

Ash Shafa

Taif

Badar (Perjalanan dari Madinah ke Jeddah) 

Jabal e Malaika (Perjalanan dari Madinah ke Jeddah) 

Al Balad, Old Jeddah

Promenade/Cornince, New Jeddah


UMRAH DIY - KAMI MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN BERIKUT SEMASA DI ARAB SAUDI

1. Kereta Toyota Innova yang disewa dari Budget Car Rental di Terminal 1

2. Teksi

3. Uber 

UMRAHDIY Day 1  

KLIA2 ke TERMINAL HAJI, JEDDAH

Kami menaiki pesawat Airasia dari KLIA2 ke TERMINAL HAJI , JEDDAH pada pukul 5 pagi.

Juadah utama seperti Nasi Lemak Pak Nassier, Nasi Bukhara dan Nasi Ayam telah kami tempah dan bayar secara online semasa membeli tiket Airasia. Air mineral botol bersaiz kecil diberikan bersama-sama juadah utama ini. Kami tempah dan bayar online juadah utama untuk dua kali makan sepanjang penerbangan selama 9 jam ni.

Untuk makanan tambahan lain seperti minuman panas (teh, teh tarik, green tea ,hot choclolate,nescafe dll) dan snack (Mr potato, kacang dll), maggie hotcup , souvenir Airasia dan sebagainya, kami beli di atas pesawat dan buat bayaran dengan debit card dan credit card.

Kami telah pun check-in Airasia secara online 3 hari sebelum berlepas. Bila tiba di KLIA2, kami cuma menimbang beg2 kami agar tidak melebihi berat yang ditetapkan. Kemudian kami guna machine di airport untuk print tag dan lekatkan pada beg2 kami.

Apabila kaunter khusus untuk drop-bag dibuka, kami dropped beg sendiri di kaunter tersebut dengan memasukkan butiran yang diperlukan di machine yang disediakan di kaunter itu. Alhamdulillah, tak perlu beratur langsung, semuanya cepat dan lancar. 

Kesian juga melihat mereka yang baru nak checkin di kaunter di airport sebab queue terlalu panjang dan memakan masa yang lama. 

TERMINAL HAJI, JEDDAH ke MEKAH

Setelah separuh perjalanan menuju ke Jeddah, kami mula bersiap2 mengenakan ihram di atas pesawat. Ada juga jemaah yang telah siap memakai ihram dari KLIA2 lagi.

Apabila pesawat menghampiri Miqat Qarnul Manazil, pramugari Airasia membuat pengumuman untuk jemaah bersiap2 dengan ihram dan berniat Umrah.

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts pengumuman Miqat Qarnul Manazil oleh Airasia.

Qarnul Manazil ialah Miqat untuk jemaah yang datang dari Malaysia (Asia Tenggara). Jika jemaah TIDAK berniat Umrah semasa pesawat terbang melalui Miqat Qarnul Manazil, apabila pesawat mendarat, jemaah hendaklah berpatah balik ke Qarnul Manazil untuk berniat Umrah sebelum ke Mekah. 

Pada tahun 2016 dulu, semasa mengerjakan Umrah bersama Andalusia, kami tidak berniat di Qarnul Manazil. Ini adalah kerana , pada masa itu, sebaik saja pesawat mendarat, kami terus menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Selepas beberapa hari di Madinah, baru lah kami bertolak ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Oleh sebab kami bergerak dari Madinah ke Mekah untuk menunaikan Umrah, maka Miqat kami ketika itu ialah di Bir Ali.

Tapi kali ini, kami akan terus ke Mekah menunaikan Umrah sebaik sahaja pesawat mendarat di Jeddah. Kami telah berqasad (hajat) untuk ke Mekah menunaikan Umrah dari Malaysia lagi, maka, Miqat kami ialah Qarnul Manazil . Jadi kami perlu niat umrah di atas pesawat semasa pesawat melalui Miqat Qarnul Manazil.

Airasia mendarat di Terminal Haji. Berlepas balik ke Malaysia juga dari Terminal Haji.

Ramai yang keliru dengan airport/terminal di Jeddah. Sebenarnya ada 3 terminal/airport:

1.      TERMINAL HAJI (HAJ TERMINAL)

2.      TERMINAL UTARA (NORTH TERMINAL)

3.      TERMINAL 1 (KING ABDUL AZIZI TERMINAL di mana terletaknya akuarium yang besar)

Setakat ini, kami berpeluang pergi ketiga-tiga terminal/airport ini. 

Untuk Umrah, kami pergi dan baik dari Terminal Haji. Ketika kami melancong ke Istanbul tidak berapa lama dulu, kami bertolak dari Jeddah ke Istanbul dari Terminal 1 menaiki pesawat Flynas.  Dan dalam perjalanan pulang, kami mendarat di Terminal Utara dari Istanbul ke Jeddah dengan pesawat Pegasus

Semua urusan kastam dan immigration di Terminal Haji berjalan lancar tanpa apa-apa masalah. Keluar je dari terminal haji, ada banyak teksi yang menunggu. Kami cuba tawar menawar dengan pemandu teksi disitu

Perjalanan dari Jeddah ke Makkah memakan masa selama lebih kurang 1 jam. Pemandu teksi membawa kami ke Clock Tower, melalui jalan bawah, seperti terowong. Kami turun di sini dan naik ke Clock Tower untuk ke hotel.



Kami menginap di Swissotel Almaqam yang terletak dalam bangunan di sebelah Clock Tower, tapi bersambung dengan Clock Tower. Boleh ke Masjidil Haram dengan jalan pintas melalui Clock Tower, atau keluar dari lobby hotel terus dan berjalan terus ke masjid, kedua-dua cara ini memakan masa 5 minit juga. Terdapat 2 buah Swissotel di Makah, satu namanya Swissotel dan satu lagi namanya Swissotel Almaqam. Kedua-duanya terletak di dua bangunan yang berbeza tapi bersambung dengan Clock Tower.

Alhamdulillah, rezeki kami di bumi Mekah. Pihak Swissotel AlMaqam membenarkan kami masuk ke bilik sebaik saja kami tiba iaitu pada pukul 1130 walaupun waktu checkin ialah pada pukul 2 petang. Mereka juga memberikan kami upgrade percuma dan kami dapat bilik-bilik with Partial Kaabah View. 


UMRAHDIY - Pemandangan KAABAH dari bilik Swissotel AlMaqam

Setelah checkin di bilik, kami bersiap-siap untuk ke masdilharam. Rezeki kami sekali lagi, apabila 2 orang petugas hotel datang ke bilik kami dengan membawa pelbagai buah-buahan, kurma dan kopi istimewa dan manisan. Katanya kami terpilih sebagai GUEST OF THE DAY.  Syukur Alhamdulillah.

(Semasa UMRAH DIY pada bulan April 2023,  kami menginap di hotel Pullman Zamzam yang terletak dalam Clock Tower. Lobby hotel ini terletak di tingkat 9, Clock Tower. Untuk ke Masjidil Haram, cuma 5 minit berjalan kaki.Semasa UMRAH dengan Andalusia 2016 dulu, kami menginap di hotel HANEEN FIRDAUS yang terletak 400meter dari Masjidil Haram dan semasa Haji 2019 kami menginap di Retaj As Safwa yang terletak 250meter dari Masjidilharam. Semua hotel-hotel ini selesa untuk kami)

TAWAF

Semasa hendak masuk ke Masjidilharam untuk menunaikan Tawaf, tiada petugas yang memeriksa Nusuk, cuma untuk Tawaf di Mataf Kaabah (Dataran Kaabah), hanya mereka yang menunaikan umrah iaitu berpakaian Ihram dibenarkan tawaf di sini. Jika hendak menunaikan Tawaf sunat atau Tawaf Wida, hendaklah tawaf ditingkat 1,2 atau roof top. 

Alhamdulillah, kami selesai melaksanakan 7 pusingan Tawaf. Kami kemudiannya menunaikan solat sunat tawaf dan duduk di mataf dihadapan kaabah menunggu azan asar. sementara itu kami mengambil peluang berdoa dihadapan kaabah. Bila azan dilaungkan, kawasan mataf sudah penuh. Alhamdulliah kami berpeluang solat di hadapan kaabah. 

Jika hendak tawaf dengan Electrik Cart, sama ada disebabkan kesihatan atau pun tidak, boleh la ke tingkat dua di MasjidilHaram. Kalau tak silap, ada 3 tempat yang menawarkan perkhidmatan Electric cart ini. Tapi yang paling senang sampai ke tempat electric cart ini ialah dengan menaiki ramp yang terletak disebelah kanan, jika anda datang dari clock tower. 

Harga yang dikenakan bergantung pada samada cart itu untuk seorang atau dua orang, samada ianya digunakan untuk tawaf sahaja, saie shaja atau Umrah keseluruhannya. Ustaz umrah kami pernah memberitahu bahawa Nabi Muhammad juga pernah tawaf dengan kenderaan iatu dengan menunggang unta.



SAIE
Kami kemudiannya bergerak ke kawasan Saie. Jika tidak jumpa atau nampak papan tanda menuju ke tempat saie, boleh bertanya pada petugas Masjidilharam yang ada dinama-mana saja dan sangat ramah dan membantu. 

TAHLUL
Setelah selesai saie, kami bercukur dengan gunting kecil yang kami bawa dan selesailah umrah kami, alhamdulillah. KAmi pulang ke hotel untuk berehat dan makan. Magrib dan isyak kami kembali lagi ke masjidilharam. 

UMRAHDIY DAY 2 

MasjidilHaram, Ajyad As Sad market.

AJYAD AS SAD MARKET, MEKAH

Hari ini, selepas solat subuh di masjidilharam, kami bersarapan dan kemudian bergerak menghala ke  Ajyad untuk membeli sedikit cenderahati. Memang mengikut pengalaman kami, di sini barang agak murah. Dari hotel kami, kami bergerak dari clock tower ke Ajyad As Sad market. Kebanyakan kedai menjual barang yang agak sama, jadi kena banyak bertanya dan tawar menawar untuk dapatkan harga termurah.



Dalam perjalanan ke bazaar ini, kami sempat bergambar di hadapan Hotel Retaj As Safwa, tempat kami tinggal semasa mengejakan Haji. Hotel ini sedang diubahsuai.

Selepas meletakkan barang-barang yang kami beli di hotel, kami terus ke Masjidil haram untuk solat zohor. Begitu jugak untuk asar, magrib dan isyak. Kami mesti awal ke masjid untuk memastikan kami mendapat tempat yang selesa dan saf depan di masjid kerana jemaah yang ramai. Kami cuba pastikan kami dapat solat dengan pandangan Kaabah yang jelas.

UMRAHDIY DAY 3

MAKKAH ke JEDDAH

Selepas sarapan pagi, kami mula mengemas beg kami dan checkout dari hotel. Kami kemudiannya, meninggalkan beg kami di kaunter hotel dan terus ke MasjidilHaram untuk menunaikan Tawaf Wida/Selamat Tinggal.

Setelah selesai tawaf Wida, kami tidak berlengah-lengah dan terus ambil beg kami di lobby hotel dan turun ke bahagian terowong untuk ambil teksi ke Jeddah. Banyak teksi yang menunggu di sini. 

Kami selamat tiba di Jeddah. Kami menunpang di rumah sedara kami di Jeddah.  Untuk hari ini, kami lebih banyak berehat sahaja di Jeddah. 

Pada sebelah malam kami ke Mall of Arabia untuk makan malam dengan menaiki Uber.

 

UMRAHDIY DAY 4 

ALBalad- Kota Lama Jeddah, Tapak Warisan Dunia. 

Selepas sarapan pagi, kami bertolak dengan Uber ke Terminal 1 untuk mengambil kereta Toyota Innova yang kami sewa dari Budget Car Rental.


Hari ini kami bergerak ke Jeddah Old City, AlBalad.

MASJID JAFFALI, JEDDAH

Selepas park kereta, kami berjalan melepas Masjid Jaffali. Ia adalah bangunan bersejarah dan merupakan salah satu masjid yang paling terkenal di Jeddah. Ia warna putih , berkubah kecil dan ada menara tiga tingkat. Ia juga terletak berhampiran Tasik Al-Arbaeen. Masjid ini kelihatan sangat cantik dengan kedudukannya disebelah tasik. 

UMRAH DIY - Masjid Jaffali, Jeddah

 Kami kemudian berjalan melalui 
Al-Arbaeen Lake Park dan sampai ke pintu masuk Al Balad. 

AL BALAD, OLD CITY JEDDAH

Al Balad ialah Tapak Warisan Dunia. Bangunan disini berusia mencecah 500 tahun, Al Balad merupakan pintu masuk bagi jemaah Haji/Umrah ke Mekah yang tiba melalui jalan laut pada zaman dahulu.

UMRAHDIY Al Balad, Jeddah Old City.

Seni bina bangunan lama di sini sangat unik dan berwarna-warni, terasa macam berada pada zaman dahulu kala. Tingkap-tingkap bangunan di sini berkekisi kayu.  Jalan-jalan di sini sempit dan berliku-liku.

UMRAH DIY - Kota Lama Jeddah, AL BALAD

Kerajaan Saudi kini dalam proses memulihkan bangunan-bangunan bersejarah ini dan menjadikan Al Balad sebagai tarikan pelancong. Kini banyak acara berlangsung di Al Balad terutamanya pada musim perayaan seperti Bulan Ramadan dan Hari raya.

Tidak banyak kedai yang dibuka pada siang hari di sini kerana cuaca panas semasa kami ke sini. Kebanyakkan kedai akan dibuka pada sebelah petang bila cuaca sudah mula sejuk sedikit. Kami pernah ke sini pada waktu malam semasa Umrah pada bulan April 2023. Memang pada waktu malam, AL Balad "hidup" dengan pelbagai tarikan, persembahan tradisional, muzik dan lain-lain. Dan AL Balad lebih meriah pada musim sejuk di sini.

MASJID AL SHAFII, JEDDAH

UMRAHDIY - Al Shafii Mosque


Di sini terdapat  masjid tertua di Jeddah, iaitu Masjid Al Shafii. Ia juga dikenali sebagai Masjid Purba yang telah ada sejak zaman Khalifah Omar bin Alkhatabb. 

Masjid Al-Shafi'i ini terletak di kawasan bersejarah Jeddah yang disenaraikan  oleh UNESCO dan merupakan komponen utama Tapak Warisan Dunia ini. Masjid ini  dikelilingi oleh banyak pasaraya popular yang mengekalkan ciri tradisional di sini.

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts keunikan Al Balad, Jeddah Old City.

UMRAHDIY DAY 5 

JEDDAH KE MADINAH – RnR, INTERCONTINENTAL DAR AL HIJRAH, MASJID NABAWI

Kami bersarapan awal hari ni kerana kami akan memandu ke Madinah.

Perjalanan ke Madinah sebenarnya memakan masa selama 4 jam, namun kami mengambil masa yang lebih lama kerana kami berhenti di RnR untuk makan, ke tandas dan mengisi minyak.

Sepanjang perjalanan, kami terjumpa 2 buah RnR dan berhenti di salah satunya. Di sini terdapat pelbagai kedai menjual makanan dan tandas yang besar dan bersih, surau, taman permainan kanak-kanak dan petrol station. Setiap kedai menyediakan tempat makan yang selesa namun kami memilih untuk makan di bawah khemah yang disediakan disitu kerana kebetulan cuaca agak dingin pada masa itu.

Sepanjang perjalanan ke Madinah, kami dapat lihat deretan unta-unta yang sedang bergerak mengikut pengembalanya di sepanjang tepi jalan raya. Batu-batu di sekeliling jalan yang mulanya berwarna gelap akhirnya bertukar dengan pemandang batu-batu merah pula.


UMRAHDIY - Deretan Unta dalam perjalanan ke Madinah 

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan kami. Setibanya kami di Madinah, kami terus ke hotel Dar Al hijra Continental yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi.

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts perjalanan kami dari Jeddah ke Madinah.

 

INTERCONTINENTAL DAR ALHIJRA

Bilik-bilik kami semuanya besar dan selesa. Kami ambil 2 bilik dengan katil Twin dan 1 bilik katil King. Kedua2 katil Twin adalah double bed yang besar dan selesa. Untuk bilik yang berkatil King pula, biliknya sangat lah luas, ada living room, tea table dan sofa yang sangat selesa. Jarak ke Masjid Nabawi jugak dekat.

Di kawasan hotel, terdapat banyak kiosk yang menjual pelbagai makanan termasuk makanan dari Malaysia dan Indonesia seperti Nasi goreng, nasi ayam, bihun goreng dan lain-lain.


(Sebelum ini, kami pernah menginap di hotel Al Aiman Taibah semasa Umrah dengan Andalusia dan juga hotel Dallah  Taibah semasa dengan Rayhar di Madinah. Untuk UMRAHDIY November 2023 ini, kami cuba tempah bilik di Dallah Taibah kerana hotel ini lebih dekat dengan Masjid Nabawi, tapi tak berjaya kerana ada masalah teknikal.)

MASJID NABAWI, MADINAH

Selepas checkin, dan berehat kami terus ke Masjid Nabawi untuk beribadah.


 UMRAHDIY DAY 6 

MADINAH - MASJID QUBA, DATARAN QUBA, MASJID AL JUMUAAH, JABAL UHUD, MASJID QIBLATAIN

Selepas solat subuh di masjid Nabawi, kami memandu ke Masjid Quba untuk solat sunat di sana. Semasa kami sampai di sana, tempat parking sudah dipenuhi dengan bas-bas yang membawa jemaah umrah.

MASJID QUBA, MADINAH

Di depan masjid Quba pula, jemaah-jemaah berkumpul dan bersesak-sesak. Semua mencari peluang untuk solat sunat di sini. Ada pegawai yang mengawal kemasukan jemaah ke dalam masjid. Jemaah di minta beratur dalam beberapa barisan dan hanya boleh bergerak masuk setelah diberi kebenaran.

UMRAH DIY - MASJID QUBA

Kami juga sempat berjalan-jalan di Quba Square yang terletak di sebelah Masjid Quba.

Kami terus berjalan hingga sampai ke penghujung di mana letaknya Masjid Al Jumu’ah. Masjid ini ialah tempat di mana RasulAllah menunaikan solat Jumaat buat pertama kali. Beliau disertai oleh lebih kurang 100 orang makmum.

MASJID JUMUAAH,MADINAH

UMRAHDIY - Masjid Al Jumuah

Dari Masjid QUba kami memandu kereta ke Jabal Uhud. Di sini gunungnya berwarna merah, tempat berlakunya peperangan Uhud. Seperti biasa ramai jemaah singgah ziarah di sini.

JABAL UHUD, MADINAH

UMRAHDIY - Jabal Uhud

Kami akhirnya bergerak ke Masjid Qiblatain.  Di sini lah, Nabi Muhammad menerima perintah untuk menukar kiblat solat dari tempat asal iatu, Baitulmaqdis ke Makkah. Dalam masjid ini dapat dilihat arah kiblat yang lama dan arah kiblat baru.

Kami kemudiannya kembali ke hotel dan sempat solat zuhur di Masjid Nabawi seperti yang dirancang. 

Jemaah wanita kami

Selepas solat zuhur, kami sempat melihat Kubah “Sliding Dome” Masjid Nabawi dibuka. Biasanya selepas solat fardu, keadaan agak bising dalam masjid tapi sebaik sahaja dome dibuka, semua jemaah mendongak ke bumbung dan keadaan menjadi sunyi. Dome ini dibiarkan terbuka selama lebih kurang 10 minit sebelum ia ditutup kembali. Difahamkan terdapat 27 buah Kubah Sliding Dome di Masjid Nabawi.

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts "Kubah Sliding Dome" Masjid Nabawi dibuka dan ditutup.

Kami kemudiannya menghabiskan masa beribadah di Masjid Nabawi. Malam ini juga kami akan memasuki Raudah mengikut permit slot yang telah kami tempah melalui Nusuk

UMRAH DIY - RAUDAH dan NUSUK

Jemaah wanita keluarga kami

Kami sudah tempah Raudah untuk slot selepas solat Isyak. Seperti biasa kami melalui pintu 25 dan masuk ke dalam masjid untuk solat magrib. Apabila hampir waktu Isyak, kami bergerak ke pintu 34. Kami bertanya petugas di sini, di mana kami boleh solat Isyak bagi memudahkan kami beratur untuk ke Raudah. Petugas membenarkan kami dan jemaah lain solat isyak di kawasan itu.

Jemaah lain yang berebut2 berada di kawasan LINE ke Raudah bermula, dihalau oleh petugas dan disuruh solat di kawasan yang ditentukan iaitu kawasan yang ditunjukkan kepada kami.

Semasa menunggu waktu Isyak, kami didatangi kumpulan jemaah dari negara lain yang mengatakan mereka tidak ada permit Raudah kerana ada masalah teknikal Nusuk. Mereka meminta agar kami membenarkan mereka mengambil gambar permit Raudah kami untuk mereka gunakan. Kami tidak bersetuju dan mereka mula kelihatan marah. Lagipun Permit akan ada blinking button jika slot yang kita pilih telah dibuka. Blinking button itulah yang akan diperiksa oleh petugas sebelum masuk ke Raudah menandakan kita berada dalam slot yang ditempah. Jika mereka ambil gambar, blinking button tidak kelihatan.

Walaupun mereka berkeras, kami menolak permintaan mereka. Kami tidak pasti sama ada mereka jujur dan tidak tahu peraturan permit Nusuk, atau mungkin mereka scammer. Mereka datang berkumpulan 2-3 orang, dan seorangnya akan cuba meyakinkan kami. Beberapa kali juga kami didatangi kumpulan-kumpulan ini. Mereka bersungguh2 mahu kami mnegeluarkan handfon dan menunjukkan nusuk kami tapi kami buat taktau sahaja kerana mushkil dengan tujuan mereka,

Selepas selesai solat Isyak, kami terus ke LINE untuk beratur ke Raudah. Alhamdulillah, kami dapat beratur di bahagian depan. Dalam masa yang singkat, LINE sudah mula panjang dan ada jemaah yang mula cuba potong queue tapi dimarahi oleh petugas wanita disitu.

Petugas wanita memeriksa Nusuk setiap jemaah sebelum membenarkan jemaah pergi beratur pula di pintu masuk Masjid yang berdekatan dengan Raudah. Agak lama berdiri beratur di sini dan jemaah sudah mula tidak sabar dan ada yang tolak menolak.

Setelah petugas di sini memberi isyarat membolehkan jemaah masuk ke Raudah, semua jemaah berlari masuk Masjid dan menuju ke Raudah. Alhamdulillah, kami berpeluang solat sunat dan berdoa di bahagian paling depan dalam kawasan Raudah untuk wanita.

  Jemaah lelaki keluarga kami

Kami sudah tempah Raudah untuk slot selepas Magrib.

Ada jemaah yang cuba potong Queue masa beratur tapi petugas yang mengawal disitu menyuruh mereka keluar dari barisan dan pergi beratur semula dari awal.

Selepas selesai menunaikan solat sunat dan berdoa di dalam Raudah, kami sudah bersedia untuk keluar bagi memberi peluang jemaah lelaki lain masuk ke Raudah. Tapi petugas di situ meminta kami duduk dan jangan keluar kerana katanya pintu Raudah akan di tutup untuk solat Isyak.

Sebentar kemudian , Imam masuk ke dalam Raudah dan azan dilaungkan. Rezeki kami yang tak disangka dan tak dirancang, dapat solat Isyak berjemaah di saf depan,  belakang Imam di dalam Raudah. Syukur atas segala nikmat Allah.

 UMRAHDIY DAY 7

 MASJID AL AREESH, TAPAK PERANG BADR, JABAL E MALAIKA (MOUNTAIN OF ANGELS), MUZEUM MADINAH dam MASJID ALGHAMAMAH

Selepa solat subuh, kami berjalan-jalan  melihat matahari terbit di Masjid Nabawi. 

UMRAHDIY -Matahari terbit di Masjid Nabawi

Kami  berjalan selama lebih kurang 10 minit melalui kubah Hijau/makam RasulAllah, menerusi Muzeum Madinah dan akhirnya sampai ke Masjid Alghamamah. 

UMRAHDIY Muzium Madinah

MASJID AL GHAMAMAH, MADINAH


"Ghamamah" bermaksud awan. Masjid ini dinamakan sedemikian kerana dikisahkan bahawa awan hujan menutupi kota Madinah ketika Nabi Muhammad menunaikan Solat ul-Istasqa di sini kerana Madinah ketika itu dilanda kemarau.

UMRAHDIY - Masjid Al Ghamamah, Madinah

Masjid ini sangat lah cantik, kubahnya dipenuhi burung merpati. Di sekeliling kawasan ini ,burung2 merpati terbang ke sana sini dan terasa tenang bila berada disini. 

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts keindahan Masjid Al Ghamamah yang menakjubkan.


Selepas bersarapan dihotel , kami ke Masjid Nabawi sekali lagi dan menuju ke kawasan Qubah Hijau untuk menunaikan Ziarah Wida. Ziarah Wida ialah ziarah selamat tinggal dengan menziarahi makam Rasulullah SAW sebelum meninggalkan Madinah. Kemudian kami pulang ke hotel dan terus checkout.

 


Dalam perjalanan pulang ke Jeddah, kami memang merancang untuk singgah di beberapa buah tempat. Destinasi kami yang pertama ialah Masjid AL Areesh.

MASJID AL AREESH

Masjid Al Areesh terletak berdekatan kawasan perang Badar. Tapak masjid ini merupakan tempat khemah-khemah dibina sebagai markas tentera Islam dalam peperangan Badar. 

UMRAHDIY MASJID Al Aresh

TAPAK PERANG BADAR

Seterusnya, kami bergerak ke kawasan dimana berlakunya perang Badar. Di sini dapat di lihat perkuburan umat Islam yang Shadid semasa perang Badar. 

Nama-nama pejuang Islam yang Shahid disemadikan di atas batu peringatan di sini.

Nama 14 orang Shuhada dicatatkan di sini



UMRAH DIY - batu-batu penanda kubur para Shuhada


JABAL E MALAIKA – GUNUNG MALAIKAT

Kami kemudiannya bergerak ke Jabal e Malaika (Gunung Malaikat) yang terletak berhampiran Kawasan perang Badar.  Di sini lah, Malaikat diturunkan untuk membantu umat Islam dalam peperangan Badar. Walaupun hanya padang pasir yang tinggi, namun tempat ini sangat unik, ia terasa sangat berbeza dari tempat lain.

UMRAHDIY - Van aiskrim di Gunung Malaikat Jabal e Malaika


Semasa kami sampai ke Jabal e Malaika ini, tidak ada pengunjung lain selain daripada kami. Yang ada cuma, sebuah trak menjual aiskrim sahaja. Mungkin terlalu pagi dan keadaan agak panas ketika itu, jadi pengunjung lain belum sampai.



Klik DI SINI untuk Youtube Shorts Jabal e Malaika/Gunung Malaikat. 


Perjalanan dari Makkah ke Jeddah sepatutnya memakan masa hanya 4 jam tapi oleh sebab kami berhenti ziarah di beberapa tempat yang terletak di luar perjalananan dan singgah pula di kawasan rehat untuk solat, jadi kami mengambil masa selama 8 jam.

UMRAHDIY DAY 8 

ASH SHAFA dan TAIF

Hari ni kami memandu ke Taif, bandar yang kaya dengan nilai sejarah perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW.   Masjid ini sentiasa sibuk dengan kunjungan jemaah umrah.

AS SHAFA

Kami merancang untuk bermalam di Taif, tapi belum membuat tempahan hotel. Sebelum sampai ke Taif kami ke Ash Shafa lebih kurang setengah jam dari Taif.

 Jalan ke Ash Shafa agak sunyi dan bersimpang siur serta berbukit.  Pemandangannya cantik dan unik.  

UMRAHDIY Jalan menuju ke AS Shafa sangat sunyi


Cuaca di Jeddah yang panas terik  semakin bertambah sejuk sepanjang perjalanan kami ke Ash Syafa. Kabus mula kelihatan dan lama kelamaan menjadi semakin tebal sehingga kami sukar melihat jalan. Kami terpaksa memandu 5 km sejam kerana kabus yang tebal.

 Tiba satu tahap, kabus terlalu tebal sehingga kami terpaksa berhenti di tepi jalan. Sebenarnya 20 minit je lagi kami akan sampai ke Ash shafa cuma kabus yang tebal memperlahankan perjalanan kami. 

 Sambil kami berbincang, tiba-tiba kelihatan cahaya seperti lampu suluh dihadapan kami. Lama kelamaan cahaya tersebut semakin dekat dengan kami. Rupa-rupanya cahaya itu adalah lampu dari sebuah  trak putih menuju ke arah kami. Trak itu berhenti di sebelah kereta kami dan pemandunya menegur kami dalam bahasa Arab. Kami tidak faham apa yang dikatakannya. Akhirnya, dia berkata SLOW ... DRIVE SLOWLY.  Kami mengangguk sahaja.

Kami masih belum bergerak lagi kerana kabus yang tebal, kami berada pada aras yang tinggi. Bahaya jika tak nampak jalan.

Tiba-tiba kelihatan samar-samar suatu lembaga besar dan tinggi bergerak-gerak dalam kabus tebal. Lama kelamaan, muncul seekor unta berwarna agak putih. Kami terpaksa mendongak ke atas kerana ia terlalu besar dan tinggi. Di atasnya pula, ada seorang pengembala yang memakai jubah putih dan serban putih serta eagal hitam di atas serbannya.

Lama kelamaan pula kami nampak bayang-bayang bergerak-gerak di belakang unta putih yang tinggi ni . Akhirnya muncul gerombolan unta bersaiz besar berbondong-bondong dari kabus tebal. Setelah unta-unta besar ini melepas kereta kami, berbondong-bondong pula datang unta-unta bersaiz biasa dan seterusnya unta-unta yang lebih kecil pula. Kami tergamam dengan apa yang kami lihat, terasa macam dalam cerita Jurassic Park pula ditambah keadaan kabus yang tebal.  Patutla pemandu trak tadi memberi amaran kepada kami.

Setelah gerombolan unta ini hampir sampi ke penghujungnya, baru la kami terfikir untuk merakamkan suasana yang unik ini. Namun kami tak sempat merakam ketua unta dan pengembalanya serta unta-unta yang sangat besar dan tinggi kerana telah berlalu pergi dari awal lagi. Kami hanya sempat merakam kumpulan terakhir unta-unta ini sahaja.

UMRAHDIY - deretan Unta dalam kabus tebal di As Shafa

Kami kemudiannya cuba memandu perlahan-lahan dalam kabus tebal dan sampai ke kawasan pekan kecil. Penduduk disini memakai baju sejuk tebal , mufler dan topi beannie sebab cuaca sejuk. Lain betul berbanding keadaan panas terik di Jeddah ketika ini. Kami singgah untuk ke bilik air. Air paip pun terasa sangat sejuk.

 Rancangan awal kami ialah untuk berkelah di tepi gunung di Ash shafa ini tapi cuaca terlalu sejuk dan berkabus tebal jadi kami terus memandu ke Taif.

TAIF

UMRAHDIY - Sadeem Hotel Suites, Taif


Kami mencari penginapan secara online dan akhirnya memutuskan untuk ke Sadeem Hotel Suites. 

Kami mengambil suite 4 bilik. Masuk sahaja ke dalam suite ini, kami agak terkejut dengan keadaannya yang sangat luas, 4 bilik tidur yang luas dan 4 bilik air yang sangat luas juga. 2 bilik dengan king bed dan 2 bilik lagi dengan super single bed . Ruang tamu dengan sofa yang U-Shape yang selesa dan besar. Rasanya 3 orang dewasa boleh tidur atas sofa ini. Ruang makan menempatkan meja makan yang besar untuk 8 orang. Dapur pun sangat luas dengan dish washer, fridge, microwave, mesin basuh baju dan lain-lain. Memang sangat luas sampai boleh berlari-lari. Patutla receptionist tadi mengatakan suite ini boleh memuatkan 11 orang. Harga suite ini ialah SAR700.

Kami kemudiannya keluar melihat bandar Taif. Sebelum ini, apabila jemaah umrah menceritakan pengalaman mereka melawat Taif, kami cuma dengar cerita tentang deretan kedai buah di sini dan bangunan-bangunan lama. 

UMRAHDIY - Pasar buah di Taif

 Tapi bila datang sendiri ke sini, barulah kami tahu Taif satu bandar yang besar, dipenuhi deretan Mall yang canggih dan bangunan yang unik dan agak tinggi serta taman yang cantik selain dari bangunan lama tempat sejarah Islam.




UMRAHDIY DAY 9


TAIF, MASJID Siku (Alkou Mosque), Rudulf park entrance, Masjid Abdullah Bin Abbas

SHUBRA PALACE & SHUBRA MUZEUM, TAIF

UMRAHDIY Shubra Palace (muzium Shubra)


Kami masak sarapan pagi di suite hotel dengan bahan yang kami beli di mall semalam. Sebelum memandu ke destinasi lain, kami berjalan kaki ke hadapan Shubra Place berdekatan hotel untuk bergambar. Istana ini  adalah salah satu kediaman diraja sehingga 1995, selepas itu ia ditukar menjadi sebuah muzium.

KAKII PALACE, TAIF

UMRAHDIY - Al Kaaki Palace


Kami memandu ke Masjid Abdullah bin Abbas. dalam perjalanan ke sana kami terlihat Al Kaaki Palace. Kami tidak berhenti di sini, hanya melihat dari dalam kereta sahaja. 

MASJID ABDULLAH BIN ABBAS

 Abdullah Ibn Abbas adalah sepupu Nabi Muhammad SAW. Beliau sangat rapat dengan RasulAllah. Lokasi masjid ini berdekatan makam Abdullah Bin Abbas. 

UMRAHDIY - Pintu Gerbang Abdullah bin Abbas


UMRAHDIY pemandangan di luar masjid Abdullah Ibn Abbas

UMRAHDIY pemandangan di dalam masjid Abdullah Ibn Abbas


MASJID SIKU (Alkou Mosque)



Kami kemudian bergerak ke Masjid Al Kou (Masjid Siku) yang terletak di tepi jalan besar. Masjid ini dinamakan Siku kerana terdapat kesan lekuk pada batu ketika Rasulullah menekan sikunya pada batu ini ketika baginda duduk di sini. Sewaktu kami sampai, masjid ini di tutup jadi kami tidak dapat masuk ke dalamnya. Bagaimana pun, banyak bas-bas yang membawa jemaah  ziarah disini.

Kami kemudian ke Ar Ruddaf Park. Sayangnya ketika kami sampai, taman ini ditutup. Ia hanya dibuka pada sebelah petang dan malam. Taman ini berpagar tinggi dan bertutup jadi kami tidak nampak apa yang ada disebaliknya.  Kami pun bergerak pulang ke hotel dan megemas barang2 untuk checkout.

Selepas makan tengahari, kami bergerak pulang ke Jeddah melalui Al Hada. dalam perjalanan, kami ternampak Cable Car menghala ke  

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts perjalanan kami di Ash Shafa dan taif.


UMRAHDIY DAY 10 

JEDDAH NEW CITY – PROMENADE/CORNICE

Pagi ini kami banyak berehat sahaja dan mengemas barang kami kerana esok kami akan pulang ke Malaysia.

Selepas makan tengah hari, kami ke Promenade/Cornice, JEDDAH NEW CITY .  

Promenade/Cornice adalah kawasan luas yang terbentang di tebing Laut Merah. Di sini terletaknya Jeddah Art Promenade dimana karnival, persembahan, perayaan serta pertunjukkan seni di adakan. Di sini terdapat restoran, kafe, taman permainan, Jeddah Yatch Club, Marina, The Saudi Arabian Grand Prix Formula I Track dan lain-lain.

MASJID AL RAHMA, JEDDAH

Pada satu penghujung promenade/cornice ini terdapat Al Rahma Mosque.  Masjid ini berwarna putih dengan dome yang kebiruan, seni binanya sangat unik dan ia dikelilingi Laut Merah. Ia dibina pada tahun 1985.

Semasa kami berada di sini, kami sempat menyaksikan matahari terbenam, pemandangan yang sangat cantik. Ditambah pula dengan bunyi ombak laut yang berada disekeliling masjid ini. 


UMRAHDIY AL RAHMA MOSQUE

Klik DI SINI untuk Youtube Shorts keindahan Al Rahma Mosque.




ISLAND MOSQUE, JEDDAH



Pada penghujung promenade/cornice yang satu lagi pula, terdapat Island Mosque. Masjid ini juga berwarna putih dan ia dikelilingi oleh pokok-pokok palma yang cantik.



Klik DI SINI untuk Youtube Shorts keindahan Island Mosque.


JEDDAH PROMENADE/CORNICE

 Ketika kami di sini, kawasan ini dipenuhi dengan pertunjukan seni Summer Vibes. Walaupun pengunjung semakin ramai, tapi tidak sesak kerana kawasan ini sangat luas. Kami di fahamkan di sini, banyak pertunjukan diadakan, contohnya pertunjukan bunga api semasa Hari raya.



 







Setelah puas meneroka Jeddah Promenade/Cornice, kami ke Terminal 1 untuk menghantar kereta sewa dan pulang ke penginapan kami dengan menaiki Uber.

 

UMRAHDIY DAY 11 

JEDDAH ke KLIA2, BELI AIR ZAMZAM DI TERMINAL HAJI

Hari ini , kami akan bertolak pulang ke Malaysia. Kami menaiki teksi ke Terminal Haji. 

Sampai sahaja di Terminal Haji, kami terus ke kaunter untuk membeli air ZamZam. Kaunter ini terletak di kawasan luar Terminal Haji.

UMRAHDIY - Kaunter jual Air ZAMZAM di Terminal Haji


Semasa mengikuti Umrah Andalusia dan Haji Rayhar, air ZamZam diuruskan oleh mereka. Tapi bila Umrah DIY, kenalah beli sendiri. 

Mengikut pengalaman kami dari Umrah DIY April 2023 dan Umrah DIY November 2023, setiap jemaah dibenarkan membeli 1 botol air Zamzam dengan menunjukkan passport masing-masing. Walaupun boleh membeli air zamzam dengan menunjukkan passport masing-masing, air zamzam ini dibenarkan untuk checkin dan dibawa pulang ke Malaysia hanya jika anda ada checkin luggage. Jika anda hanya bawa carry-on luggage dan takde luggage untuk checkin, air zamzam tidak boleh dibawa balik ke Malaysia walaupun telah dibeli. Tiada caj tambahan untuk bawa pulang air zamzam.

Kami telah melekatkan sticker yang kami bawa dari Malaysia pada kotak Air Zamzam agar tidak bertukar dengan kotak jemaah lain. Sticker ini ialah jenis yang kuat melekat dan tidak mudah tertanggal atau koyak. Ada antara kami yang bawa sticker yang berwarna warni agar senang mengecam kotak masing-masing.

Semasa kami sibuk menampal sticker pada kotak air zamzam kami, jemaah-jemaah dari negara lain datang meminta sticker dari kami untuk ditampal pada kotak air zamzam mereka. Nasib baik kami bawa 3 gulung sticker ketika ini.

Sesetengah jemaah kelihatan menconteng-conteng kotak zamzam sebagai penanda, dan ada yang mengikat tali yang mereka jumpai di Terminal Haji.

UMRAHDIY - Air zamzam kami yang dipenuhi Sticker


Semasa di kaunter checkin Airasia, petugas kaunter meletakkan pula sticker khas penerbangan pada kotak air ZamZam. Kami kemudiannya membawa Kotak air Zamzam ini ke kaunter khas untuk checkin air ZamZam sahaja.


UMRAHDIY DAY 12 

KLIA2, TEMPAT AMBIL AIR ZAMZAM

Bila tiba di KLIA2, selepas mengambil beg2 lain, kami berjalan terus ke hadapan menuju ke kawasan “OVERSIZE BAGAGE”. 

Di sinilah air zamzam jemaah Umrah DIY, air zamzam jemaah Umrah agensi, air zamzam pilot dan air zamzam pramugari/pramugara akan dikumpulkan.

Kami dapat mengecam kotak air Zamzam kami dengan mudah dan cepat kerana sudah ada sticker pengenalan yang kami tampal di terminal Haji lagi.

ALHAMDULILLAH

Perjalanan Umrah & Ziarah DIY kami semuanya berjalan lancar dan segalanya dipermudahkan Allah untuk kami. Kami amat  bersyukur dengan segala rezeki yang dilimpahkan kepada kami sekeluarga.


Klik DI SINI untuk Youtube Shorts perjalanan kami dari Jeddah ke Mekkah pada November 2023.


Klik DI SINI untuk Youtube Shorts perjalanan kami dari Jeddah ke Mekkah pada April 2023.